BismiLLAH Bercakap mengenai apa-apa persoalan "bila" , ada "bila" yang boleh kita jawab , dan banyak "bila" yang tak terjawab sama ada kerana kita tidak pasti atau mungkin ia bukanlah kuasa kita untuk menentukan jawapan untuk "bila" itu .
Dalam sesi usrah santai dengan adik-adik RPKJ di Tasik Varsiti UM semalam (27 Jan), saya mengenengahkan bab Ghazwah(perang yang disertai RasuluLLAH) dalam menyingkap sirah ISLAM tentang bagaimana ketika Ghazwah Badar Al-Kubra kita boleh menang dan kalah pula dalam Ghazwah Uhud selepas itu . Bermacam persoalan yang sukar di jawab timbul membawa saya menyimpulkan semua nya di sini . Memandangkan PRU pun bakal bertandang , saya terlalu ingin mengaitkan situasi kita di Malaysia hari ini dengan peristiwa kedua Ghazwah ini terutama Uhud . Mengenai mengapa kemenangan masih belum berpihak pada yang sepatutnya walaupun terang terangan pihak yang disanjung dengan kemenangan itu tidak layak malah tidak langsung menjadikan ISLAM sebagai teras dan panduan . Sekadar meletakkan ISLAM sebagai name tag di dada , tapi aplikasi nya hancur . *Gambar: Selepas usrah di depan tasik
Mengapa kemenangan masih belum milik kita walau kita merasakan kita sudah melakukan segalanya untuk itu? Mengapa ALLAH masih belum membenarkan nikmat menang itu kita rasa walaupun kita merasakan kita sudah meletakkan objektif ISLAM itu dalam perjuangan? Mengapa dan mengapa ..
Ghazwah Badar Al-Kubra
Sepanjang pengetahuan saya melalui terlalu banyak pembacaan , perang ini tidaklah satu perang yang dirancang . Ia nya berlaku ketika RasuluLLAH mempelawa para sahabat baginda untuk menyekat kafilah pedagang Quraisy diketuai Abu Suffian dari Syams balik ke Mekah dan misi asalnya bukanlah untuk tujuan peperangan . Memang kafilah ini terselamat dari sekatan ini tapi Abu Suffian telah menghantar utusan supaya orang Quraisy keluar untuk melindungi kafilah nya . Maka dengan bersemangat nya keluarlah mereka dengan kurang lebih 1000 orang tentera(700 unta+100 ekor kuda berbaju perisai) berbalas 313 atau 314 orang tentera(70 unta+2/3 ekor kuda) dari pihak ISLAM . Atas pendapat juga pandangan ketua Ansor iaitu Saad Bin Mu'az , Rasulullah menyertainya dan peperangan ini membawa kemenangan kepada ISLAM dengan terbunuhnya 70 orang musyrik termasuklah Abu Jahal juga 70 orang tawanan . Pelbagai kisah mengenai tebusan tawanan perang yang membawa kepada penurunan ayat Al-Anfal:67-68 juga ada beberapa ayat Alquran yang turun berikutan perang Badar ini seperti ayat Ali-Imran:123-127 . [Sila check jika berminat . Ilmu tidak mendatangi tapi didatangi !]
Dan kesimpulan nya , ketika itu kita menang ..
Ghazwah Uhud
Ya bila sudah kalah , pasti dendam kesumat membara bagi yang tidak pernah redha dengan ketentuan . Perang ini dicetuskan oleh orang kafir Quraisy dan orang ISLAM di Madinah memerangi mereka untuk mempertahankan diri . Dengan ketumbukan tentera seramai 3000 orang(200 berkuda/700 berbaju perisai) tidak termasuk puak Ahabisy(sekutu Quraisy) . Hindun binti 'Utbah(isteri Abu Suffian) juga tidak ketinggalan menyertai peperangan ini termasuk 16 wanita lain . Dari pihak ISLAM , bersama RAsuluLLAH adalah 700 orang tentera (100 berbaju perisai/2 orang berkuda) - jumlah ini pada asalnya 1000 tapi ditolak 300 munafik(Yahudi) diketuai AbduLLAH bin Ubai bin Salul yang menarik diri dipertangahan jalan atas arahan RasuluLLAH .
Pada mulanya memang kita menang ..
Strategi cantik RasuluLLAH dalam perang ini telah membawa pada kemenangan dan membuatkan pihak musuh berundur . Disebabkan terlalu seronok dengan kemenangan itu , kumpulan tentera(kumpulan pemanah) yang menjadi benteng pertahanan belakang itu menyerbu khemah pihak musuh untuk mendapat harta rampasan perang . Terlalu seronok mereka sehingga lupa yang mereka patut terus berada dalam posisi bertahan . Bila melihatkan keadaan itu , Khalid Alwalid (Ketua sayap kanan orang musyrik ketika itu) berpatah balik dan serang hendap dari belakang menyebabkan benteng mereka patah . Ini menyebabkan orang musyrik dapat sampai kepada RasuluLLAH dan menyerang baginda sehingga jatuh pengsan dengan mata+bibir berdarah , lutut bercalar dan topi di kepalanya pecah . Yang mempertahankan baginda ketika itu adalah Abu Dujanah(perisai RasuluLLAH) juga Saad Bin Abi Waqas dan Nasibah Ummu 'Umarah (bertugas memberi minum tentera cedera) . Dan ISLAM kalah kali ini . Begitulah dia peringatan besar dari ALLAH tentang betapa manusia ini cepat lupa bila diberi nikmat contohnya seperti kemenangan di atas . ALLAH memberi peringatan dalam surah Ali-Imran ayat 139-142 yang berbunyi :
****************** " Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (139) Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (140) Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir. (141) Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (142) "
****************
Kesimpulan nya... Begitulah . Apa yang saya cuba sampaikan pada entri kali ini adalah terdapat hikmah mengapa ALLAH tidak memberikan kita kemenangan dengan mudah . Jika DIA mahu itu berlaku fayakun lah . ALLAH itu Maha Kuasa bukan ? Ini menunjukkan bahawa kita masih belum matang dan cukup syarat pada pandangan ALLAH untuk memiliki nya . Boleh jadi kita akan jadi tiba-tiba lupa dan alpa dengan nikmat itu lalu mengundang keadaan yang lebih buruk dari sebelumnya seperti apa yang berlaku dalam Ghazwah Uhud di atas . Jadi lebih baik TIDAK dari YA ! Jika kita rasa kita sudah berusaha sehabis daya tapi kemenangan masih belum berpihak pada kita , maka anggaplah itu semua kuiz/test/exam dan sebagainya untuk buat kita jadi lebih kental dan gagah bukan sahaja dalam memperjuangkan kemenangan itu , tapi juga memperjuangkan kekuatan menghandle diri untuk terus istiqamah dengan perjuangan SELEPAS mendapat kemenangan . Usaha terus , doa jangan putus . Moga nanti kemenangan itu milik kita !
So , bila akan menang ? Jawapan nya ada pada DIA . Tapi jika esok , maka BERSEDIA lah untuk menang ! -> (nak menang pun kena bersedia ye..)
Labels: tazkirah, usrah
|